Wednesday, December 24, 2008

BERMULALAH KISAH REMAJAKU DI STAR, IPOH

Tahun 1964 bulan Mac, aku dibawa oleh uncleku dari rumahku di Kg Puah ke Stesen Kereta Api K.L. untuk berangkat ke Ipoh. Malam sebelumtu, ibu ku telah membeli pakaian dan selimut di pasar chow kit untuk aku gunakan di Ipoh nanti, di STAR. Kami sampi di Ipoh keesokan harinya. Setelah mendaftar di asrama 'remove class', aku ditinggalkan begitu saja oleh uncleku. Tiada apa pun pesanan yang ditinggalkan untuk ku kecuali, " Ni, mamak nak balikni, duduk baik2. Belajar rajin2." itu saja ayat nasihat yang pendek yang aku ingat. Aku pun memerhatikan saja uncleku beredar dari kawasan sekolah dan terus hilang dari pandangan. Tak pulak aku merasa sedih tidak juga aku rasa tersangat gembiar. Rasa biasa jer.

Wednesday, December 10, 2008

APA NAK TULIS?

Salam untuk semua! Apa nak tulis ah? Baiklah aku mulakan dengan kisah ku bermula di sekolah rendah...

Aku dulu bersekolah di Sekolah Umum Princess Road kemudian ditukarkan namanya kepada Sekolah Rendah Jalan Raja Muda, Kg Baru. Nama Guru Besar waktu itu ialah Cikgu Pa' Wan Cik, badannya memang besar dan putih kulitnya. Nama guruku semasa di darjah 6B ialah cikgu Husin. Tak pernah senyum. Semasa di darjah 4, guru Megat Rus melatih kami bermain bola rugbi. Aku rasa pada waktu itu tak banyak sekolah rendah ada bola rugbi. Sekarang ini pun aku belum jumpa lagi sekolah rendah yang ada pasukan rugbi. Kami juga ada pasukan hoki. Cikgu Megat Rus tidak garang terhadapku. Semasa darjah dua cikgu kami ialah cikgu Osman, garang orangnay. Main cubit kat perut. Sakit..sampai ke sudu hati. Dalam kelas semua kena berdiri atas bangku. Kena soal dengan congak ilmu hisab, sekarang dikenali sebagai matematik. Jika dapat jawab abru dapat duduk. Sekarang ni tak tahu di mana cikgu - cikgu kami semua, tak tahulah sama ada masih hidup atau sebaliknya. Bagi yang tiada, aku sedekahkah ..Al-Fatihah.
Sejak masuk sekolah menengah tidak pernah berjumpa dengan cikgu-cikgu yang aku sayangi.

Aku sempat masuk ke Sekolah Menengah Aminudin Baki, Kg Pandan. Di sana aku merasa selesa belajar dengan cikgu wanita namanya aku tak ingat. Dia mengajar Lukisan. Aku berbasikal dari rumahku di Kampung Puah, Gombak ke sekolah Aminudin Baki. Sekolah baru berusia 2 tahun. Duduk di bahagian tepi bilik darjah tingkatan 1A, aku bukanlah dari golongan pelajar pintar. Siapa dia Aminudin Baki? aku tak pernah nak amik tahu semasa hari pertama aku mendaftar di sekolah ini. Itulah dia betapa daifnya diriku pada waktu itu tidak mengenali seorang pejuang bangsa.

Dalam kelas aku bukanlah budak nakal tidak nakal mengganggu kawan-kawan sekelas. Aku hanya terpaku di bangkuku sendiri dan tidak mengenali kawan-kawan yang lain kerana kami didatangkan dari sekolah rendah yang berlainan. Masing-masing buat hal masing-masing. pergi ke kantin sendirian. Pergi kepadang sendirian. Senyum saja bila bertembung dengan kawan sekelas. Setakat itu saja. Perasaanku masa itu hanyalah untuk belajar demi untuk merubah nasib keluarga yang miskin bila dewasa nanti.

Aku berbasikal dari rumahku seawal pukul 6.30 pagi dan sampi di sekolah di Kg pandan pukul 7.15 pagi. Kalau tak silap kelas mula pukul 7.30 pagi, agaknya, tak berapa pasti. Habis kelas pukul satu aku terus pulang ke rumah tidak pulak merayau-rayau ketempat lain. Lagi pun masa itu tiada kompleks membelibelah seperti sekarang. Sepanjang jalan circular tu tidak banyak bangunan hanya pokok-pokok besar. Kerata pun tak banyak.

Aku masih ingat semasa berulang alik berbasikal dari rumah di Kg Puah ke sekolah rendah di Kg Baru. Setibanya aku di rumah sebelum menanggalkan pakaian sekolahku, aku akan ke kandang kambingku untuk memberi mereka makan. Terdapat 4 ekor kambing kachang baka kampong yakni satu jantan 2 ibu dan seekor anak kambing. aku akan menariknya dengan tali yang ada pada lehernya ke kawasan ragut di sekitar 50 meter radius dari rumahku. Di waktu itu kawasan ragut luas dengan tumbuhan rumput dan air sungai yang terleatk 40 meter di belakang rumahku masih jernih dan tidak tercemar. Aku mandi di sungai dan mengail ikan keli di situ. Belut pun ada. Semuanya aku makan. Setelah aku menambatnya di batang pokok kayu yang ada di situ, aku pun berkemas nak ke sekolah agama rendah.

Aku masih teringat pada ustazah Fatimah dan Ustazah Aisah yang mengajar subjek agama seperti tauhid, akhlak, alquran, nasyid dan fardu ain. Sekolah agama bermula jam 2.00 petang dan habis jam 5.00 petang. Balik dari sekolah agama, aku terpaksa membawa balik kambing-kambingku ke kandang. Ada kalanya, kambing-kambingku terlepas dari tambatan dan jenuhlah aku mencarinya sehingga ke maghrib. Yang menggerunkan aku apabila kambing-kambingku terperangkap dan tali tanbatannay terlilit di batu nesan di dalam kawasan perkuburan Kg Puah sedangkan waktu senja menjelang tiba dan orang kampung mula bergerak ke surau untuk menunaikan solat maghrib. Dengan perasaan yang gementar aku mendekati batu nesan yang usang dan menanggalkan simpulan tali kambingku satu persatu. Aku pasrah dan akau tiada pilihan selain membawa mereka pulang ke kandang dengan selamat. Jika aku gagal aku akan menghadapi kemungkinan menerima akibatnya dari ayahku yang sangatlah garang. Semuanya itu telah menjadi kenangan.


Setelah selamat semua kambing-kambingku dikandang, aku naik ke rumah dan menghidupkan lampu gaslem ( gaslamp), isikan dengan minyak tanah dan sedikit minyak spirit pada mangkuk kecil di dalam gaslam lalu menyalakan apinya. Bila dah panas, aku pun mengepamkannya sehingga mentol kain cap kupu2 hidup dan menerangi ruang rumahku. Bekalan letrik di kawasan perumahanku masih belum wujud kerana ketiadaan tiang letrik. Di luar sana amat gelap dan semua penduduk berada di dalam rumah masing-masing.


Pada setiap hari Ahad, ayah dan ibuku membuat persediaan bahan-bahan untuk berniaga di pasar minggu, Kg baru disepanjang Jalan Perkin bermula di Masjid Kg Baru sehingga ke Jalan Tuanku abdul Rahman. Pagi-pagi aku sudah ke Pasar Chow Kit menghantar segantang beras yang sudah direndam dan tos untuk dimesinkan sehinga menjadi halus semacam tepong. Di samping aku membeli barangan lain seperti tali dari kulit pisang, kertas surat kabar lama, arang dan sebagainya semuanya untuk kegunaan berniaga. Tepong beras dibawa pulang untuk dijemur sebelum boleh digunakan untuk membuat putu piring di Pasar Minggu, Kg Baru. Ayahku akan membuat persedian untuk jualan kueh apam baliknya. Aku akan membantu mengacau adunan tepong gandum dengan telor ayam dengan sepenyapu rotan.

Kakakku dan dua adik perempuanku juga turut membantu selain membuat kerja-kerja rumah. Semua tenaga yang ada dikerah dan tiada siapa pun yang dikecualikan. Itu lah peraturan yang digunapakai oleh ibubapa kami. Berniaga di Pasar Minggu adalah aktivitu mingguan dan juga punca mata pencarian keluarga yang utama. Pendapatan inlah yang menampung dan menyara kehidupan kami selamanya. Pasar Minggu memang terkenal dengan berbagai jenis kueh mueh bukan saja di dalam negeri bahkan terkenal dikalangan pelancung luar negara. Kelihatan bas rombongan dari negeri-negeri lain yang singgah di Pasar Minggu, Kg Baru yang beroperasi dari petang pukul 2.00 petang sehingga 3.00 pagi.

Keluargaku sebelum tinggal di Kg Puah, pernah tinggal di Kg Baru menyewa rumah papan di jalan Perkin dengan sewa bulanan RM20.00. Rumah ini mempunyai sebuah bilik dan di bahagian atas ada loteng, tempat aku berlabuh. Suhu loteng di waktu siang tidaklah berapa panas kerana beratapkan rumbia tetapi diwaktu malam ianya terasa sejuk hingga ke tulang.

Setelah dua minggu aku berada di Sekolah aminudin baki, Kg Pandan, aku dipanggil guru kelas dan aku diberitahu bahawa aku telah mendapat tawaran belajar di Sekolah Tuanku abdul Rahman, Ipoh. Berita ini tidak mendatangkan kengairahan kepada ku kerana nama sekolah tersebut tidak pernah ku dengar sebelum ini. Tanpa mengetahui perihal tawaran ini, aku membawa balik surat tawaran dan menunjukkannya kepada ayahku. Ayahku sendiri pun tidak begitu faham akan kandungan surat bila ku serahkan kepadanya. Pakcikku yang dikenali sebagai Mamak Udin bila mendapat tahu akan hal ini, datang menemui keluargaku. Pakcikku berbincang dengan keluargaku dan mengesa supaya tawaran itu diterima. Ini bermakna aku akan dibawa ke Ipoh dan tinggal di sana bersendirian. nanti sambung...